Saturday, September 28, 2013

PCA tidak selari dengan hak asasi manusia, kata Suhakam - ( M4L4YS14 )

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius terhadap cadangan pindaan ke atas Akta Pencegahan Penjenayah (PCA) 1959 yang disifatkannya menafikan hak seseorang untuk perwakilan undang-undang seperti yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya rasa bimbangnya ke atas cadangan pindaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 25 September 2013.

“Setelah mengkaji Rang Undang-undang tersebut, Suruhanjaya berpendapat bahawa terdapat beberapa peruntukan terutama sekali berkenaan dengan penahanan tanpa bicara dan perwakilan undang-undang, yang tidak selari dengan prinsip asas hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR),” kata Hasmy dalam kenyataannya.

Menurutnya, Suhakam juga bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.

“Suruhanjaya berpendapat bahawa peruntukan ini mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pihaknya juga melahirkan rasa kecewa ke atas cadangan Seksyen 15A yang menghalang semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur seterusnya menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.

Dalam usaha Kerajaan memerangi jenayah, adalah penting untuknya memastikan bahawa undang-undang yang digubal adalah progresif dan tidak mundur, menyedari akan kedudukan Malaysia sebagai ahli kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa yang mengkehendakinya menegakkan piawaian tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini.

Oleh itu, katanya, suruhanjaya berpendapat adalah penting untuk Kerajaan menangguhkan pembentangan kali kedua rang undang-undang tersebut dan menjalankan kajian semula ke atas cadangan-cadangan pindaan dengan mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia berikut

• Bahawa penahanan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya;

• Bahawa penahanan mestilah berdasarkan sebab dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang;

• Bahawa maklumat tentang sebab-sebab penahanan mesti diperuntukkan; dan

• Bahawa hak untuk perbicaraan yang adil dan akses kepada perwakilan undang-undang mesti diperuntukkan.

Menurut Hasmy, suruhanjaya berpendapat bahawa selaras dengan matlamat ternyata Kerajaan untuk menggerakkan negara ke arah mencapai status negara maju pada masa akan datang, adalah penting untuk Malaysia menunjukkan pematuhan sepenuhnya dengan norma-norma hak asasi manusia di samping memastikan penglibatan yang bermakna bersama pelbagai pihak berkepentingan di dalam proses kajian semula undang-undang dan perancangan dasar yang mana Kerajaan komited untuk menjalankan. – 28 September, 2013.