Thursday, September 26, 2013

MCA: Tambah penyiasat, bukan sekadar pinda akta tangani jenayah - ( M4L4YS14 )

Putrajaya dibidas supaya tidak hanya meminda akta untuk menangani jenayah, sebaliknya menambah tenaga kerja khususnya bagi jawatan pegawai penyiasat (IO) yang tidak mencukupi, kata MCA dalam satu kenyataan media hari ini.

Datuk Chua Tee Yong, berkata jumlah 10,509 pegawai IO yang ditempatkan dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tidak mencukupi untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani kes jenayah yang berlaku di seluruh negara.

“Berdasarkan jumlah yang didedahkan Menteri, pegawai IO adalah 9.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 109, 969 anggota.

“Jumlah kecil anggota polis berkemahiran khas ini sangat membimbangkan dan menimbulkan persoalan terhadap usaha PDRM menangani jenayah,” kata Ketua Biro Profesional Muda MCA pusat itu.

Bagi baki anggota pasukan polis lain, Putrajaya memberitahu Dewan Rakyat selebihnya berkhidmat dalam Jabatan Pengurusan (47,995), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dan Jabatan Logistik (9,997), JSJ (Narkotik) (4,272), Pasukan Anti-Pengganas (34,125) dan JSJ (Komersil) (1,769).

Ahli Parlimen Labis itu berkata, walaupun Akta Pencegahan Jenayah 2013 (dipinda dan ditambah), Putrajaya masih perlu melakukan pemantauan bagi memastikan ianya tidak disalah guna.

“Saya berharap kerajaan memberi jaminan satu perlindungan untuk akta baru bagi mengelakkan salah guna undang-undang dan kuasa, sebagai contoh semakan kehakiman,” katanya.

Bacaan pertama pindaaan PCA dibacakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bagi mengukuhkan kedudukan untuk menahan penjenayah tanpa bicara sehingga dua tahun.

Pindaan berkenaan akan menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak memasukkan semakan kehakiman, kecuali melibatkan langkah prosedur.

PCA ketika ini hanya membenarkan tahanan selama 72 hari terhadap individu yang ditahan di bawah akta berkenaan.

Akta itu juga mengkehendaki tahanan dibawa ke mahkamah sebelum ditahan selama 72 hari.

Ia digunakan secara efektif sebelum ISA dikuatkuasakan dan melalui pindaan itu, Putrajaya ingin menggunakan akta berkenaan sekali lagi.

PCA bagaimanapun tidak meliputi kawasan Sabah dan Sarawak kerana ia dikuatkuasakan pada 1959 sebelum negeri Borneo menyertai Malaysia, dan pindaan hari ini akan memasukkan peruntukan melibatkan dua negeri berkenaan. – 27 September, 2013.