Friday, September 27, 2013

Kepimpinan ulama dan Unit Amal dari Iran, kata Mat Sabu - ( M4L4YS14 )

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menegaskan untuk kesekian kalinya beliau bukan Syiah tetapi hanya membawa nilai-nilai baik dari Iran untuk diamalkan di negara ini.

Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakannya yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS.

“Adakah kesemua mereka menjadi Syiah kerana saya membawanya dari Iran. Sudah tentu tidak,” katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider sambil bercerita, kurma dari Iran pun dilarang makan kerana takut dituduh Syiah.

Katanya, setiap dua tahun sekali iaitu menjelang muktamar yang ada pemilihan dalam PAS, isu Syiah akan bergema. Kali ini bukan di kalangan PAS sahaja, isu ini juga dimainkan juga oleh pemimpin kerajaan, agensinya dan media yang dikawal mereka.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjadi salah satu sasaran mereka apabila isu ini dimainkan.

Isu Syiah menjadi sangat hangat apabila perang saudara meletus di Syria dan Iran serta Hizbollah (gerakan Islam di Lubnan) menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar Al-Assad.

Mohamad diserang apabila beliau melawat negara tersebut ketika meletusnya perang saudara di sana.

“Sebenarnya perang di sana adalah agenda perebutan kuasa dan tidak ada kaitan dengan perang antara Sunnah dengan Syiah sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Presiden PAS, Hadi Awang telah menjelaskan perkara ini,” katanya kesal dengan apa yang berlaku.

Mohamad menceritakan kembali bagaimana beliau boleh tertarik dengan perjuangan Islam di Iran yang dipimpin oleh Ayatullah Khomeine.

“Semasa saya belajar di ITM dulu, awal 1970-an, kampus ketika itu dipengaruhi oleh Abim dan PKPIM. Idola kami adalah gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir pimpinan Hassan Al-Banna dan Syed Qutb.

“Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk) dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana,” katanya.

“Apabila kita melawat Iran di awal revolusi, kami melihat kehebatan ulamanya apabila mereka bercakap hal revolusi dan perjuangan. Kami rasa kagum dengan ketrampilan mereka kerana selama ini di Malaysia, ulama hanya tukang baca doa dan seumpamanya saja,” katanya.

Dari situ, apabila pulang, Mohamad dan rakan-rakannya membawa konsep kepimpinan ulama yang diamalkan dalam PAS sekarang.

“Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu.

“Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang,” katanya.

Sebab itu, katanya, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran, kata Mohamad yang  cuba mengaitkan ramai pemimpin PAS yang terpengaruh dengan gerakan Islam di Mesir (Ikhwanul Muslimin) dan Turki (AKP pimpinan Tayyib Erdogan dan Saadet pimpinan Necmetin Erbakan).

Mohamad mengimbau kembali bagaimana beliau diseretkan dengan Syiah.

“Orang tuduh saya Syiah kerana saya kagum dengan perjuangan Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, Lubnan.

“Saya suka dia kerana, bila dia bercakap soal perjuangan, anaknya mati di medan perang melawan Israel ketika umurnya 17 tahun, rumah kena bom hancur berkecai.

“Bila dia cakap Islam dalam keadaan dagang, dia sendiri dagang bila terpaksa bersembunyi ke sana kemari daripada pengeboman dan pembunuhan oleh agen Isreal.

“Maka orang seperti Hasan Nasralah datanglah penghormatan kepadanya dari penyanyi, pemain bola, orang awam, orang Kristian bahkan orang tiada agama menerima kepimpinan Hassan Nasrallah sehingga kain jubahnya itu diambil dan dipakai oleh anak-anak muda dan artis kononnya nak ambil keberkatan… inilah contoh kepimpinan yang saya terima,” katanya.

Katanya, kefahaman beliau dan rakan-rakannya ketika itu, kepimpinan ulama ini bukan bermakna semua jawatan dalam PAS  mesti dipimpin ulama.

“Kefahaman kita, presiden dan ke bawah boleh di isi sesiapa saja yang layak dan mampu tetapi Majlis Syura Ulama hendaklah di isi oleh orang yang ada latar belakang pendidikan agama secara formal.

“Ini kefahaman kami ketika meletak Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam parti,” katanya.

Bagi beliau, pada peringkat awal konsep ini diamalkan, gandingan yang baik berlaku antara Yusof Rawa dengan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Fadzil dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan semuanya dari aliran agama.

“Bagi saya siapa saja boleh pegang presiden dan lain-lain jawatan. Kalau ulama yang mahu memegang jawatan itu, bukan melalui title atau bertenggek atas nama ulama saja, mesti memenuhi syarat kepimpinan,” katanya.

Katanya, beliau menerima orang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi untuk memimpin PAS kerana kelebihan yang mereka ada.

“Mereka ada kelemahan tetapi kelebihan yang ada pada mereka mengatasi semua yang lain, maka orang seperti itu layak untuk memimpin,” katanya.

Beliau berkata, apabila dia dan rakan-rakannya melawat Iran selepas revolusi Iran pada 1978, mereka tertarik dengan gerakan sukarela di sana yang dinamakan Jihad Sizendagi.

Kumpulan inilah yang berjaya membawa keluar rakyat Iran dari buta huruf yang tinggi di samping masalah bekalan elektrik luar bandar yang rendah.

“Bila kita balik, kami  ambil semangat itu maka tertubuhlah Unit Amal, bahkan lagu Unit Amal adalah inspirasi dari lagu itu yang dinyanyikan oleh anak muda di sana,” katanya yang menjelaskan dari manakah asal usul Unit Amal, badan kebajikan dan kawalan yang sangat berpengaruh dalam PAS sekarang.

Katanya, langkah ini diambil sesuai dengan konsep hikmah dalam Islam iaitu hikmah itu benda yang tercicir dan jika diambil ia akan menjadi hak orang yang mengamalkannya.

“Kita tidak pun menyeru orang mengambil syiahnya tetapi mengambil sistem, cara dan bagaimana mereka boleh gerakkan rakyat menumbangkan satu regim yang zalim,” katanya.

Beliau berkata, kunjungannya ke Syria dua tahun lalu dimainkan daripada perspektif mazhab terutama menjelang muktamar kali ini.

“Tahun ini lebih dahsyat bila saya kunjungi Syria sebelum ini. Yang saya jumpa semuanya ahli Sunnah wal Jamaah. Muftinya, Dr Said Ramadhan Albutti, Menteri Wakaf, Menteri Perpaduan… semuanya sunnah… sebenarnya di sana tidak timbul isu Sunni dan Syiah ni, ia adalah pertarungan merebut kuasa,” katanya. – 27 September, 2013.